-->

::Dunia Yang Tidak Kekal::

advertise here
Hidup ini memang sementara dan tidak kekal.Ketika saya merenung kisah-kisah lama,datang perasaan rindu pada kenangan zaman sekolah dahulu.Terasa bagaikan mimpi yang saya pernah berada di zaman itu.Tatkala mengenangkan semua itu,bibir ini tersenyum,dengan senyuman yang penuh rindu mengenang zaman kanak-kanak yang indah itu.


Zaman kanak-kanak itu adalah sebahagian daripada jalan hidup kita.Mulai daripada buaian,kemudian mula belajar merangkak,berjalan dan berlari.Begitu juga zaman persekolahan.Semenjak dua tiga minggu ini sudah beberapa orang sahabat sekolah rendah mula mendirikan rumahtangga,sebuah fasa baru dalam kehidupan manusia.Terasa bagaikan mimpi,cepat benar masa itu berlalu.Dulu sama-sama mencari ilmu dan bermain bersama,kini ada yang sudah berkahwin dan membawa haluan masing-masing.

Sewaktu saya mula-mula memasuki zaman sekolah rendah tiga belas tahun yang lalu,saya masih ingat hari pertama sewaktu saya mula menjejakkan kaki ke sekolah.Ketika itu musim hujan.Menjadi kebiasaan di negeri-negeri di Pantai Timur mengalami musim tengkujuh pada permulaan akhir tahun sehingga awal tahun.Ayah saya membawa saya ke sekolah dalam keadaan hujan lebat sambil memegang payung,menemani saya sehingga ke kelas.Saya seorang yang penakut ketika itu.Lama juga saya menangis kerana tidak mahu masuk ke kelas.Namun,hari-hari seterusnya saya tidak lagi menangis.Saya mula mendapat kawan-kawan yang baru dan mula mengenal dunia alam persekolahan.Apabila hampir untuk menamatkan zaman sekolah rendah,hati saya merasa sedih lagi kerana akan meninggalkan zaman yang indah itu.Saya merasa berat hati untuk berpisah dengan sahabat-sahabat sekelas yang sudah hampir enam tahun bersama mengharungi suka dan duka zaman persekolahan.Dan waktu terus berjalan,dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah.Ia berlalu dan terus berlalu.

Sekarang saya sudah dewasa,tetapi sekolah rendah tempat saya belajar dahulu masih utuh seperti dahulu,cuma bangunannya sudah dicat dengan warna yang baru.Tetapi wajahnya masih lagi menghidupkan kenangan lama yang indah itu.

Ketika saya melalui jalan-jalan kampung tempat saya bermain dengan teman-teman sekampung waktu kecil-kecil dahulu,sudah hampir kesemua paya tempat kami menangkap ikan sudah ditimbus dan dibina kawasan perumahan.Semua hanya tinggal kenangan.Tiada lagi paya tempat kami menangguk ikan,yang ada hanya rumah-rumah yang baru dibina di sepanjang jalan kampung itu.

Itu semua menggambarkan bahawa dunia ini tidak pernah kekal.Memang sifat dunia begitu,sentiasa berubah-ubah.Kerana dunia ini hanya satu perjalanan dan bukannya destinasi.Maka,jangan bazirkan hidup kita dengan perkara yang sia-sia,kerana kita akan tinggalkan dunia ini.Ada bekalan yang perlu kita bawa untuk keselamatan di alam sana.Jadikan setiap amalan dan pekerjaan kita sebagai asbab untuk menjadi hambaNya yang jujur,dan demi kejayaan di akhirat sana.

Seorang ulama’ berkata,
Dunia ini umpama kasut.Kita tidak selalu memakainya sepanjang masa,dan sewaktu kita lahir di dunia pun tanpa kasut,ketika ditanam ke dalam kubur nanti juga tanpa memakai kasut.Kita cuma menggunakan kasut untuk melindungi kaki kita.Begitulah dunia,ia cuma wasilah untuk mencapai matlamat.Jangan jadikannya matlamat.Matlamat kita ialah untuk menjadi hambaNya yang jujur kepadaNya.Sesiapa yang selalu memikirkan tentang kasut apa yang ingin dipakainya,maka nilai diri dan hidupnya umpama kasut yang dipakainya.

Salah satu cara untuk menghidupkan dunia kita dengan ibadah ialah dengan menghadiri majlis ilmu.Dikisahkan,ada seorang soleh yang merupakan pelajar jurusan perubatan di sebuah universiti di Mesir,tetapi beliau sangat mencintai ilmu agama.Beliau bersungguh-sungguh menuntut ilmu dengan para ulama’ di zamannya sehingga beliau menjadi amat alim,dan beliau juga berjaya menghafaz al-Qur’an.Kini,beliau merupakan seorang doktor pakar perubatan di Mesir dan beliau juga merupakan seorang ulama’ al-Azhar yang soleh dan terkenal.Beliau ialah Syeikh al-Sayyid Dr.Yusri Rushdi al-Sayyid Jabr al-Hasani,hafizohullah.

Begitu juga,dikisahkan bahawa ada seorang soleh di Syria.Beliau juga merupakan pelajar perubatan dan beliau juga amat mencintai majlis-majlis ilmu dan ulama’.Kini,beliau merupakan seorang doktor perubatan di Syria,dan beliau juga merupakan ulama’ yang terkenal di sana di samping memiliki sebuah pusat perubatan untuk masyarakat Syria.Hal ini menunjukkan majlis ilmu memberi kesan kepada kejayaan seseorang di dunia sehingga menjadikannya bermanfaat pula untuk akhiratnya.

Seorang ulama’ pernah berkata,
 Di antara perkara yang menghubungkan kita dengan keperibadian Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dalam hidup ini ialah majlis selawat,majlis mahabbah dan majlis tarbiyyah,serta majlis-majlis pengajian ilmu.Jangan sesekali tinggalkan majlis-majlis ini kerana ia menghubungkan kehidupan kita dengan Sayyidina Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam.

Oleh hal yang demikian,berusahalah untuk menghidupkan dunia kita dengan perkara-perkara yang bermanfaat agar kita dapat menuai hasilnya di akhirat kelak. Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan,janganlah kita tinggalkan majlis ilmu.Apabila kita berdamping dengan ulama’ dan orang-orang soleh,kita dapat memahami kehendak dan tujuan hidup kita dan dengan ilmu juga kita dapat mengetahui had dan batasan syarak dalam menjalani kehidupan.Sebagaimana kata al-Imam al-Ghazali,rahimahullah bahawa ilmu itu Imam,sedangkan amal itu Makmumnya.Ia mampu menjadi asbab keberkatan hidup di dunia dan bermanfaat untuk akhirat nanti.

Dunia ini hanya sementara.Ia sentiasa berubah-ubah.Dari sebuah peristiwa,akhirnya ia menjadi kenangan jua.Maka fokuskanlah niat kita untuk kejayaan di alam akhirat nanti.Ambillah dunia tetapi cintailah akhirat.

Click to comment