-->

::Prinsip Persahabatan Dan Kasih Sayang::

advertise here
Lama blog ini sepi,bukan kerana penulisnya menyepi...tetapi kerana tak berkesempatan untuk singgah di sini,sedangkan hati selalu meronta-ronta memaksa tangan yang kidal ini untuk menarikan tinta,sedangkan diri ini masih miskin dalam cinta,diibaratkan seperti cawan yang kosong yang memerlukan air untuk diisi,dan yang boleh mengisi kekosongan cawan ini ialah mereka yang memiliki air yang penuh untuk dituang ke dalam cawan yang kosong ini.


Berubahnya usia,berubah pula jalan kehidupan.Setiap orang memiliki takdir yang telah ditentukan pada dirinya.Walaupun kita tak menyedarinya kerana jasad kita sentiasa bersama insan-insan lain,tetapi hakikatnya setiap daripada kita sedang melalui jalan tersendiri yang telah Dia aturkan.

Persahabatan dan juga kasih sayang;sebahagian mengatakan bahawa seiring bertambahnya usia,maka semakin hilang nilai persahabatan.Sejujurnya,persahabatan mahupun kasih sayang dalam diri seseorang itu tidak akan berubah oleh lamanya masa,tidak akan berubah oleh bertambahnya usia,tidak terkesan oleh pangkat dan kekayaan,selagimana adanya kejujuran.

Memenatkan jika seseorang itu tidak jujur dalam persahabatan,dan amat melukakan jika seseorang itu tidak setia dalam berkasih sayang.Kami mencintai persahabatan yang neutral,yang tidak terkait oleh harta benda,pangkat mahupun apa saja yang jauh daripada kejujuran.

Untuk menjaga persahabatan dan kasih sayang,sama ada persahabatan di antara seorang sahabat dengan sahabatnya,mahupun di antara sang suami dengan isterinya,jangan ikatkan nilai persahabatan dan cinta itu dengan nilai materialistik duniawi,kerana mereka akan bersama ketika kita senang dan gembira tetapi akan meninggalkan kita apabila kita kesusahan dan duka.Kata Buya Hamka,

"Bersahabat jangan kerana mengharap apa-apa,dan bersahabat juga jangan kerana takut apa-apa.Apabila bersahabat kerana takut kena,alamat persahabatan itu telah mengandung bahaya."

Bersahabat mahupun cinta,biar berprinsip.Jangan kerana seseorang itu berpangkat dan berharta,kita setia dengannya.Tetapi apabila mereka kehilangan,kita pergi meninggalkan...kerana ada satu persamaan antara cinta dan persahabatan;ia memberi kesan kepada hati,sama ada gembira atau terluka.

Kalau kita menganggap persahabatan dan cinta itu murah,bermakna hati anak-anak kecil lebih berharga daripada hati kita,kerana mereka lebih menghargai persahabatan daripada kita,bahkan mereka sebenarnya lebih memahami cinta daripada kita,tanpa sedikitpun mereka mengenal apa itu benci.

Bersahabat dan berkasih sayang biar setia dalam susah mahupun senang,biar berpegang pada prinsip agama,biar penuh dengan nilai akhlak,biar ikhlas dalam kejujuran,kerana cinta dan persahabatan tanpa kejujuran itu memenatkan.
Seandainya dunia semakin terhakis nilai kejujuran dan kesopanan sekalipun,kita pertahankan dengan penuh berprinsip,kerana Islam mendidik kita dengan kejujuran,dan kemuliaan yang ada pada diri kita sehingga hari ini adalah kerana prinsip dan nilai-nilai murni Islam yang ada pada jati diri kita yang mana kita telah mewarisi prinsip-prinsip cinta ini daripada sang surat cinta,Sayyidina Rasulullah ,sehingga kita mengenal nilai cinta dan kesopanan dalam kehidupan.Apabila hilang semua ini,hilanglah harga diri kita.

Hidup biar berprinsip,seandainya kita dibenci sekalipun tetaplah hidup dengan berprinsip.Hidup bersendiri lebih baik daripada sahabat yang tidak jujur dan insan yang tidak setia.Dunia akan terasa sempit,apabila ada orang yang melukakan kita,kerana rasa sempit itu umpama torehan luka pada hati.Meskipun kita menghadap sawah padi yang terbentang luas,tetapi dengan hati yang terluka tak terasa luasnya kehidupan.


Sebelum  menutup kata....ingin bersuara sepatah dua.

Ada yang mengatakan tidak elok merayakan hari kelahiran sang surat cinta, Sayyidina Rasulullah   ...
Ada yang merendah-rendahkan mawlid Sayyidina Nabi ,namun dalam masa yang sama bergembira menyambut hari lahir dirinya sendiri...
Meski pelbagai tohmahan yang datang,jangan dihiraukan....tetap saja merayakan cinta,kerana baginda  adalah nikmat teragung yang dikurniakan kepada kita,sehingga dengan kehadiran baginda  kita mengenal apa itu keindahan dan kesopanan akhlak...
Tetaplah merayakan cinta,kerana seseorang yang mencintai itu akan selalu bergembira dengan apa saja berkaitan dengan yang ia cintai.



Selamat Merayakan Cinta.
Salam Mawlid Nabi ﷺ.

Click to comment