Kisah 1...
Dikisahkan,dalam satu peperangan,tiga orang sahabat Sayyidina Rasulullah ﷺ mengalami kecederaan parah,iaitu Sayyidina Ikramah bin Abu Jahal radhiyaLlahu 'anhu,Sayyidina Harith bin Hisyam,radhiyaLlahu 'anhu dan Sayyidina Ayas bin Abu Rabiah,radhiyaLlahu 'anhu.
Satu ketika,Sayyidina Harith,radhiyaLlahu 'anhu yang terbaring di sebelah Sayyidina Ikramah,radhiyaLlahu 'anhu berasa haus lalu meminta air lalu seorang petugas datang membawa bekas berisi air dan diserahkan kepada Sayyidina Khalid bin Walid,radhiyaLlahu 'anhu untuk diberikan kepada Sayyidina Harith,radhiyaLlahu 'anhu.
Belum sempat beliau meminum air itu,Sayyidina Ayas radhiyaLlahu 'anhu yang berbaring di sebelahnya pula meminta air.Lalu Sayyidina Harith radhiyaLlahu 'anhu memberi isyarat supaya air diberikan kepada Sayyidina Ayas,radhiyaLlahu 'anhu terlebih dahulu.Ketika Sayyidina Khalid radhiyaLlahu 'anhu mahu menuangkan air ke dalam mulut Sayyidina Ayas radhiyaLlahu 'anhu,tiba-tiba Sayyidina Ikramah radhiyaLlahu 'anhu pula meminta air.
Mendengar suara Sayyidina Ikramah radhiyaLlahu 'anhu,Sayyidina Ayas radhiyaLlahu 'anhu menyuruh Sayyidina Khalid,radhiyaLlahu 'anhu memberikan air kepada Sayyidina Ikramah radhyaLlahu 'anhu terlebih dahulu.
Dipendekkan cerita,akhirnya ketiga-tiga pahlawan Islam tersebut meninggal dunia dalam keadaan belum sempat meminum walau seteguk air kerana mengutamakan sahabat mereka melebihi diri mereka walauun dalam keadaan mereka memerlukannya...Indah,teramat indah kisah itu.
Para guru dan kekasih kami hafidzhahuLlah wa qaddasallahu sirrahu sentiasa menasihati kami supaya mendahulukan orang lain melebihi diri sendiri,berkhidmat kepada orang lain sehingga kita tidak mementingkan keperluan hawa nafsu kita sendiri dan sehingga hati kita ringan untuk berkhidmat kepada orang lain melebihi keperluan nafsu kita sendiri.Berusaha melatih diri untuk mengutamakan orang lain melebihi diri sendiri merupakan satu mujahadah yang perlu kita latih setiap waktu,meskipun terasa berat dan malas.
Amalan mendahulukan orang lain ini merupakan sunnah Sayyidina Rasulullah ﷺ,juga para sahabat dan para solehin.Kerana itu,penting untuk kita bersuhbah dengan orang-orang soleh,bukan sekadar membaca buku tanpa bersahabat dengan para solehin.Jika apa yang kita pelajari di dalam buku itu diibaratkan seperti 'huruf yang mati',maka bersuhbah dengan para solehin dan melihat sendiri akhlak mereka diibaratkan seperti 'huruf yang hidup',tidak sekadar terhenti pada setiap bait huruf yang dibaca dalam buku-buku.

Kisah 2...
Semalam,dalam rancangan 'Reflection' yang dikendalikan oleh Imam Suhaib Webb hafidzhahuLlah,saya tertarik dengan salah satu adab yang perlu kita aplikasikan dalam hidup(bagi kaum bapa khususnya).
Kata Imam Suhaib Webb,hafidzhahuLlah,pada satu hari ada sebuah keluarga datang kepada beliau.Si ayah mengadu masalah tentang anaknya yang tidak mahu berpisah dengannya,mungkin kerana dia sibuk bekerja sehingga tidak meluangkan masa untuk anaknya.
Kata si ayah,
"Saya sudah memberinya Play Station 3,Sony Xbox dan DVD tetapi anak saya tidak mahu semua itu,anak saya cuma inginkan DAD(iaitu meluangkan masa bersama ayahnya.)"
Kata Imam Suhaib Webb,hafidzhahuLlah,salah satu sebab keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja masa kini ialah kerana keruntuhan institusi keluarga.Si ayah dan ibu bekerja sehingga tidak langsung meluangkan masa dengan anak-anak mereka.
Lalu,beliau mencontohkan akhlak Sayyidina Umar Al-Khattab radhiyaLlahu 'anhu yang patut dicontohi dalam kehidupan.Sayyidina Umar Al-Khattab,ke mana saja beliau pergi pasti beliau akan membawa anak lelaki beliau bersama-samanya.Di samping itu,beliau mendidik anaknya tentang akhlak dan kehidupan,sehingga jelas tergambar hubungan kasih sayang dan kekeluargaan yang rapat di antara Sayyidina Umar radhiyaLlahu 'anhu dengan anak-anak beliau.
Kami pernah mendengar sebuah hadith yang diceritakan oleh Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid,hafidzhahuLlah...

Indah.... :-)
Kisah 3...
Seorang sahabat Nabi berkata,
"Ajarilah anak-anakmu tiga perkara,
1.Mencintai Sayyidina Al-Habib Rasulullah
2.Mencintai keluarga baginda
3.Mengajarkan Al-Qur'an."

Diceritakan oleh Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid hafidzhahuLlah,kisah dua sahabat Rasulullah ﷺ yang masih kecil yang amat menyintai baginda ﷺ.Kata Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid,bapa kedua orang anak kecil tersebut yang juga sahabat Nabi ﷺ selalu mendidik kedua-dua anak kecil tersebut di rumah tentang kecintaan kepada Sayyidina Rasulullah ﷺ.
Ketika perang Badar,kedua orang kanak-kanak itu duduk di sebelah kanan dan di sebelah kiri Sayyidina Abdul Rahman Bin ‘Auf.Salah seorang anak kecil itu bertanya kepada Sayyidina Abdul Rahman bin Auf,
"Pakcik,boleh pak cik tunjukkan kepada saya di mana Abu Jahal?"
Mendengar pertanyaan itu,Sayyidina Abdul Rahman bin Auf pun berkata,
"Apa yang kamu ingin buat kepada Abu Jahal?"
Lalu anak kecil itu berkata kepada Sayyidina Abdul Rahman bin 'Auf,
"Pak cik jangan bercakap kuat,nanti saudara saya di sebelah mendengarnya kerana saya mahu Abu Jahal mati di tangan saya."
Sayyidina Abdul Rahman bin 'Auf pun berkata lagi,
"Baiklah,tapi apa yang ingin kamu lakukan pada Abu Jahal?"
Lalu jawab si anak kecil,
"Kalau Abu Jahal tidak mati,saya yang akan syahid.Saya ingin membunuhnya kerana saya selalu mendengar Abu Jahal selalu menghina Rasulullah ﷺ.Oleh itu,saya mohon pak cik tunjukkan kepada saya di mana Abu Jahal supaya saya boleh membunuhnya."
Kemudian,seorang lagi anak kecil yang duduk di sebelah Sayyidina Abdul Rahman bin 'Auf bertanya soalan yang sama.Selepas daripada itu,Sayyidina Abdul Rahman bin 'Auf pun berkata,
"Setelah aku mendengar kata-kata kedua anak kecil ini,aku merasa akulah orang yang paling aman di dalam peperangan ini kerana diiring oleh dua anak kecil ini."
Kemudian Sayyidina Abdul Rahman bin 'Auf ternampak Abu Jahal yang sedang berlari-lari di medan perang,lantas beliau menunjukkan kepada kedua anak kecil tadi.Lalu tanpa berlengah,kedua anak kecil itu terus berlari menuju Abu Jahal untuk membunuh Abu Jahal.Sayyidina Abdul Rahman bin 'Auf menggambarkan kedua anak kecil itu berlari menuju Abu Jahal ibarat seperti singa yang ingin menerkam mangsanya.
Selepas membunuh Abu Jahal,kedua anak kecil itu menuju kepada Rasulullah ﷺ berkata,
"Ya Rasulullah,kami telah membunuh Abu Jahal."
lalu mereka menunjukkan pedang yang masih ada darah sebagai bukti mereka telah membunuh Abu Jahal...dan mereka mendapat pujian daripada Sayyidina Rasulullah ﷺ .