Ketika kami bertalaqqi dengan Syeikhuna Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki,hafidzhahuLlah beberapa hari yang lalu,beliau menceritakan sebuah kisah kepada kami sebagai hiburan dan pengajaran dalam hidup.

Suatu hari,seorang lelaki bersama anaknya hendak pergi ke suatu tempat sambil membawa keldainya dengan tali.Sedang mereka berjalan,tiba-tiba ada seseorang berkata,
"Alangkah kurang pandainya orang ini.Letih saja berjalan kaki begitu,keldainya ada,tetapi tidak pula mahu dinaikinya.."
Apabila mendengar kata-kata orang itu,si ayah berkata kepada si anak,
"Kalau begitu,mari kita sama-sama menaiki keldai ini."
Lalu mereka berdua menaiki keldai itu.Sampai di sebuah kampung,tiba-tiba seseorang berkata,
"Alangkah tidak bertimbang rasa betul.Sanggup menaiki keldai yang sudah kelihatan letih,kasihan pada sang keldai itu."
Mendengar kata-kata orang itu,si anak pun berkata,
"Kalau begitu,ayah sajalah yang naik keldai ini.Biar saya yang berjalan."
Apabila mereka tiba di sebuah kampung yang lain,terdengar pula suara orang berkata,
"Kenapa si ayah itu membiarkan anaknya berjalan kaki padahal kelihatan si anak itu sudah letih,si ayah pula senang-lenang sahaja duduk di atas keldai."
Mendengar kata-kata orang itu,si ayah pun berkata,
"Kalau begitu,biar ayah pula yang membawa keldai ini.Kamu pula yang menunggangnya."
Dalam perjalanan,terdengar pula orang berkata,
"Kurang adab betul budak itu.Kenapa dibiarkan ayahnya berjalan kaki sedangkan dia senang-lenang duduk di atas keldai..."
Mendengar kata orang itu,si ayah dan anak pun menjadi pening kerana semua yang mereka lakukan tidak betul dan selalu dipersalahkan.
Kata Syeikhuna Muhammad Nuruddin Al-Banjari,hafidzhahuLlah,
"Moral dari cerita ini,
Untuk mendapatkan restu dan redha orang ramai ialah sesuatu yang tak mungkin dapat dicapai/dikhayalkan.Oleh itu,jadikan usaha kita hanya untuk dapatkan restu dan redha daripada Allah semata-mata."
Sollu 'Ala Khairil Anam...