Dikisahkan,seorang anak telah digoda oleh syaitan supaya membunuh ibunya dan syaitan tersebut telah menawarkannya harta jika dia mengeluarkan jantung ibunya.Mendengar kata si syaitan,lelaki itu terus pulang ke rumah dan membunuh ibunya dengan menggunakan sebilah pisau.
Selepas itu,lelaki tersebut keluar berlari-lari sambil membawa jantung ibunya menuju ke tempat syaitan tadi untuk mendapatkan harta yang dijanjikan.Sedang lelaki itu berlari-lari,tiba-tiba dia terjatuh dan jantung ibunya terlepas dari tangannya.
Dengan izin Allah,tiba-tiba jantung ibunya itu berkata kepadanya,
"Wahai anakku,kau sakit di bahagian mana akibat terjatuh tadi?Boleh tunjukkan kepada ibu?"
SubhanaLlah,inilah jantung yang telah dipotong,tetapi masih lagi mempunyai perasaan kasih dan cinta kepada anaknya.
Apabila lelaki itu mendengar suara ibunya,dia tersedar daripada kelalaian dan kesilapannya lalu dia mengambil pisau untuk menikam jantungnya sendiri di atas penyesalan yang dia rasai.Namun jantung ibunya berkata lagi kepadanya,
"Wahai anakku,cukuplah engkau membunuh aku sekali saja.Jangan lagi engkau membunuh 2 kali(termasuk lelaki itu menikam jantungnya sendiri) kerana hatimu adalah hatiku jua.Jika engkau masih hidup,engkau boleh doakan keselamatan untukku."
Berkata guru kami,Syeikhuna Al-'ArifbiLlah Al-Murobbi Sayyidi Al-Habib Yusuf Al-Hasani,hafidzhahuLlah,
"Sesungguhnya,seseorang itu tidak akan dapat menilai dan memahami kasih sayang ibu bapa melainkan dia sendiri menjadi ibu bapa.Adapun,pemuda dan pemudi yang belum berkahwin,tetapi bercakap tentang kehidupan cinta selepas berkahwin,itu hanya teori jua(khayalan fikiran).Apabila mereka menghadapi dan melalui sendiri zaman perkahwinan,baru mereka merasai dan memahaminya...bahawa apa yang mereka lalui tidak semudah apa yang mereka perkatakan dan tidak semudah apa yang mereka bayangkan.
Ibu kita telah mengandungkan kita dalam keadaan yang sangat penat,dan dijaga pula kita sehingga menjadi insan yang sempurna.Dan bapa,betapa kasihnya kepada si anak.Cuba bayangkan,bagaimana perasaan seorang ayah..bilamana ada orang yang ingin mengambil anaknya daripadanya.Sebelum diambil anaknya itu,si bapa telah marah kepada orang yang ingin mengambil anaknya daripadanya...
Yang dikatakan memberi semuanya yang anak inginkan itu bukan bermakna sayang,tetapi itu bermakna ibu bapa itu tidak memahami hakikat sebenar tarbiyyah kepada anak-anak.Terkadang,ada sebabnya ibu bapa memarahi kita,marahnya mereka kepada kita sebenarnya didikan dan tarbiyyah daripada ibu bapa kepada anak supaya si anak tidak jatuh dalam kecelakaan dan bahaya.Sesuatu yang degemari oleh anak itu bukan semuanya baik,tetapi terkadang boleh membawa keburukan kepadanya tanpa diketahui oleh ibu bapa.
Jagalah ibu bapa kita sehingga ke akhir hayat sebagaimana mereka menjaga kita ketika kita lemah.
Pepatah mengatakan,
"Sekiranya kamu tidak mampu untuk memenuhi keinginan orang lain dengan harta,cukuplah engkau memuliakan mereka dengan akhlak kamu(yang dipenuhi dengan mahabbah)."
Jika ini yang dituntut untuk kita berbuat baik kepada orang lain,apatah lagi jika kepada ibu bapa kita?"
