Berkata Syeikhuna asy-Syarif as-Sayyid Rohimuddin Nawawi al-Bantani al-Husaini,hafidzhahuLlah,
"Malam Jumaat itu malam Sayyidul Ayyam,malam yang mempunyai keutamaan yang banyak.Jumaat merupakan hari 'eid(hari raya) yang datang setiap minggu.
Jumaat itu sebaik-baik hari,juga pada malam Jumaat.Allah kurniakan pada hari Jumaat itu dengan rahmat melebihi hari-hari yang lain.Dalam hari Jumaat ini ada satu masa(sa'atul ijabah)di mana digalakkan berdoa pada hari Jumaat.Para solehin pada zaman dahulu,24 jam jaga masa mereka pada hari Jumaat kerana menantikan saat ijabah itu.
Pada hari Jumaat juga ada kaffarah bagi dosa-dosa kecil sehingga datang Jumaat selepasnya.Sesiapa yang meninggal pada malam Jumaat dan hari Jumaat(dengan penuh keimanan kepada Allah),akan terlepas baginya seksa kubur.
Dalam hadith ada disebutkan 5 amal yang jika dilakukan,termasuk dalam ahli syurga,iaitu:
i-Mengunjungi orang yang sakit
ii-Menghantarkan jenazah
iii-Memerdekan hamba
iv-Berpuasa
v-Orang yang menunaikan solat Jumaat pada hari Jumaat."
Istimewanya hari Jumaat,sehinggakan disunatkan pada hari Khamis supaya membasuh pakaian dan disediakan bau-bauan dan pakaian yang putih.
"Sebaik-baik hari yang terbit padanya mentari ialah hari Jumaat.Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu Adam dimasukkan ke syurga, pada hari itu Adam dikeluarkan dari syurga (untuk menjadi khalifah di bumi).Tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat."
[H.R.Muslim]
Di antara sunnah pada malam Jumaat dan harinya:
1. Sunat banyakkan membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan hari Jumaat kerana dicerahkan hatinya daripada nur bagi yang membaca surah ini pada hari Jumaat itu hingga Jumaat berikutnya.
"Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat,nescaya akan ada cahaya terang yang menyinari antara dirinya dengan Baitul 'Atiq(Ka'abah)"
[H.R. ad-Dailami]
"Sesungguhnya barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat,nescaya akan ada cahaya terang yang menyinari dirinya di antara kedua Jumaat."
[H.R. al-Hakim dan al-Baihaqi]
2. Sunat membanyakkan doa supaya diharap bertemu dengan sa'atul ijabah iaitu satu detik yang amat halus yang amat tersembunyi dan adalah saat yang diperkenankan doa itu di dalam hari Jumaat,tetapi yang terlebih diharapkan saat ijabah itu pada ketika duduk khatib atas mimbar untuk berkhutbah sehingga selesai solat Jumaat.Berkata Ustaz Don Daniyal Don Biyajid,hafidzhahuLlah,
"Sewaktu khatib naik atas mimbar untuk berkhutbah,malaikat pun menutup buku dan berkumpul di sekeliling mimbar untuk mendengar khutbah."
Dalam Bughyatul Thullab Syeikh Wan Daud Abdullah al-Fathani,rahimahullah menyatakan,
"Setengah riwayat hadith menyatakan saat ijabah itu pada selepas Asar(kata ulama',ketika hampir matahari terbenam)pada hari Jumaat,ditanggung bahawa saat ijabah itu berpindah-pindah tempat sama seperti lailatul Qadar.Bersalah-salahan ulama' pada menentukan saat ijabah dan dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ,ada 45 pendapat yang berbeza.
Juga disunatkan banyak berdoa pada malam Jumaat seperti mana berdoa pada siang hari Jumaat kerana kata Imam asy-Syafi'e,datang hadith bahawa doa diperkenankan pada malam Jumaat."
3. Sunat berpakaian putih dan berwangi-wangian ketika ingin menunaikan solat Jumaat.Syeikhuna Muhammad Nuruddin al-Banjari,hafidhzhahuLlah selalu menekankan sunnah ini dalam hampir setiap pengajian beliau kerana memuliakan hari Jumaat juga sebagai ittiba' sunnah Sayyidina Rasulullah ﷺ.
"Sesiapa yang bersih pakaiannya nescaya sedikit kedukaannya,dan sesiapa yang wangi baunya nescaya bertambah akalnya."
[Imam asy-Syafi'e,rahimahullah]
4. Sunat membanyakkan selawat pada malam Jumaat dan hari Jumaat.
"Barangsiapa yang berselawat ke atasku 1 selawat,Allah akan berselawat(menurunkan rahmat) ke atasnya dengan 10 selawat."
[H.R. al-Baihaqi]
"Sekurang-kurang selawat yang paling sempurna ke atas Sayyidina al-Habib Rasulullah ﷺ ialah sebanyak 300 kali."
[al-Imam Khatib Syarbini,rahimahullah]
Habibana al-Habib Ali bin Syeikh bin Abu Bakar bin Salim,hafidzhahuLlah pernah berpesan supaya membaca selawat seperti yang tertera di dalam gambar di bawah setiap hari Jumaat,selepas Asar sebanyak 80 kali.
5. Sunat membersihkan diri dan memotong kuku pada hari Jumaat.Kata ulama',seseorang itu akan mendapat pahala sunat Jumaat apabila memotong kukunya bermula selepas Asar sehingga sebelum menunaikan solat Jumaat.Jika memotong kuku selepas solat Jumaat,akan dapat juga pahala membersihkan diri,tetapi tidak mendapat pahala kelebihan Jumaat.Oleh itu,yang afdhalnya memotong kuku ialah bermula selepas Asar pada hari Khamis sehingga sebelum menunaikan solat Jumaat.
"Sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Jumaat nescaya dikeluarkan penyakit daripadanya dan dimasukkan penawar kepadanya."
[Sayyidina Abdullah bin Mas'ud,radhiyallahu 'anhu]
"Mahabbah kepada Sayyidina al-Habib Rasulullah ﷺ itu dengan mencontohi perilaku dan akhlak baginda ﷺ dalam kehidupannya."
[Ulama']
"Cinta kepada Sayyidina al-Habib Rasulullah ﷺ hakikatnya adalah cinta dan 'ubudiyyah kepada Allah."
[Ulama']


