Sekiranya terdapat seorang lelaki dan perempuan saling mencintai antara satu sama lain,perbuatan itu tidaklah salah menurut agama.Perasaan cinta itu bukanlah dibuat-buat sebaliknya telah ditanam oleh Allah.Ketahuilah bahawa cinta itu mulia dan suci.
Sabda Rasulullah ﷺ,
“Sesiapa yang mempunyai perasaan cinta,dan merahsiakannya dan tidak melakukan maksiat kemudian mati,dia akan masuk syurga.”
[Hadith dipetik daripada kitab ad-Durr al-Mantsur fil Ahadith al-Musytaharah,karangan al-Imam as-Suyuthi]
UBAT CINTA
Ada seorang lelaki kaya mempunyai seorang anak lelaki yang sakit.Puas diubati,tidak juga sembuh.Akhirnya orang kaya itu memanggil seorang tabib yang terkenal di Tha’if yang bernama Harits ibn Kaladah.
Ibn Kaladah masuk ke kamar dan memeriksa si pesakit.Keluar semula dari kamar,beliau menyuruh ayah kepada si pesakit menyediakan senarai nama gadis-gadis yang ada di kampung itu.Setelah semua senarai nama gadis tersebut diserahkan kepada Ibn Kaladah,beliau pun masuk semula ke kamar pesakit.
Ibn Kaladah membaca satu persatu nama-nama gadis yang ada di tangan beliau.Sambil membaca,beliau memerhatikan wajah anak muda yang sakit itu.Melihatkan tidak ada sebarang reaksi,Ibn Kaladah terus membaca nama-nama gadis yang berikutnya.
Sehinggalah sampai kepada satu nama,wajah pemuda yang sakit itu berubah.Ibn Kaladah pun berhenti membaca.Beliau keluar dari kamar tersebut dan berkata kepada si ayah pemuda tersebut,
“Cari gadis ini dan kahwinkannya dengan anak kamu.Insya Allah dia akan sembuh.”
Ayah si pemuda tadi lantas mencari gadis yang disebutkan dan terus dipinangnya.Sebaik sahaja pemuda itu berkahwin dengan gadis tersebut,dengan izin Allah pemuda itu pun kembali sembuh.
KESAN CINTA
Khalifah Yazid bin Abdul Malik pernah membeli seorang hamba bernama Habbabah dengan harga 100,000 dinar.Baginda sangat menyayangi Habbabah,namun begitu usia Habbabah tidak panjang.Yazid sangat berduka atas kematian Habbabah.
Cinta Yazid yang sangat mendalam menyebabkan baginda tidak sanggup mengebumikan jenazah Habbabah.Jenazah Habbabah dibiarkan terbujur berhari-hari sehingga sang khalifah ditegur oleh saudaranya.Akhirnya baginda akur dan mengebumikan jenazah Habbabah.
Namun disebabkan terlalu cinta,Khalifah Yazid menggali semula kubur Habbabah semata-mata untuk menatap wajah wanita kecintaannya itu.Setelah dipujuk,jenazah Habbabah itu disemadikan semula.Selepas itu,Khalifah Yazid tidak lagi keluar dari biliknya.
Pada hari yang ke-17 baginda dibawa keluar dari bilik baginda,tetapi bukan sebagai seorang khalifah....hanya sekujur jasad yang tidak lagi benyawa.
HAKIKAT CINTA
Cinta hanya mengenal cinta,dan keindahan yang luar biasa hanya dapat dialami di dalam qalbu.Abu Nasir al-Sarraj berkata,
“Sesungguhnya orang yang bercinta,akan taat kepada orang yang dicintainya.”
Kecintaan di sini termasuklah juga cinta seorang makhluk kepada Tuhannya.Dia akan mentaati sepenuhnya perintah Allah tanpa mempersoalkannya.
Suami isteri yang saling mencintai juga begitu.Hayatilah cinta Rasulullah ﷺ dan Sayyidatina Khadijah al-Kubra.Tidak kira siapa yang berada di hadapan baginda,Rasulullah ﷺ tetap akan mengenangkan Khadijah dan menceritakan kisah Khadijah di hadapan mereka.Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah telah menanam rasacinta di dalam qalbuku terhadap Khadijah.”
Rasulullah ﷺ juga bersabda bahawa baginda ﷺ telah direzekikan oleh Allah akan perasaan cinta kepada Sayyidatina Khadijah.
::Oleh:Habib Hassan Muhammad al-Attas,hafizohullah,Imam Masjid Ba’Alawi Singapura::

