-->

::Matan Cinta::

advertise here
Alhamdulillah semalam diizinkan Allah dapat hadir di majlis pembukaan daurah al Allamah Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang al Fathani,hafizohuLlah,di Madrasah Darul Muhajirin yang terkenal dengan nama Pondok Bukit Jong,Kuala Terengganu.Pondok ini dipimpin oleh Baba al Habib Suhaimi Hasan Abdul Hadi Alaydrus dan Baba Suplar bin Yahya.

Usai sampai di rumah dari tempat kerja,terus mendapat panggilan whatsapp dari seorang sahabat meminta menemaninya ke majlis yang mulia ini.Alhamdulillah Allah mengizinkan kami untuk hadir ke majlis kekasihNya,di mana apabila sebut saja nama orang-orang soleh itu maka turunnya rahmat.Apatah lagi,jika melihat wajah mereka.

Tuan Guru memulakan pengajian dengan membaca matan ketiga daripada kalam hikmah al Imam Ibn Atha'iLlah as-Sakandari,rahimahuLlah melalui kitab karangan Tuan Guru sendiri iaitu, Himam al 'Aliyyah Syarh 'ala Hikam as-Sakandariyah',matannya berbunyi:

  سَوَابِقُ الهِمَمِ لا تَخْرِقُ أَسْوارَ الأَقْدارِ.

"Setajam mana himmah dan cita-cita seseorang tidak dapat menembus kota-kota taqdir."

Tuan Guru menghuraikan matan ini dengan begitu menarik sekali melalui gaya ilmu nahu,bayan dan balaghah yang menunjukkan betapa tinggi faedah yang kita peroleh dengan menguasai ilmu-ilmu alat ini yang menjadi wasilah untuk kita memahami kitab-kitab bahasa Arab khususnya,

Kami berhajat untuk berkongsi beberapa untaian hikmah yang sempat kami catat daripada  syarah Tuan Guru mengenai matan ini.Kesimpulan daripada hikmah yang ketiga ini ialah seseorang itu berjaya memiliki apa yang ia inginkan bukan dengan kecerdikan dan kepandaian yang ada padanya,itu hanya sebagai asbab yang disandarkan secara majaz(kiasan)jua.Pada hakikatnya semua dengan izin Allah.

Pesan Tuan Guru,seseorang yang rasa 'down' atau putus asa apabila dia tak dapat apa yang ia inginkan itu kerana terhijab dengan asbab yang mendindingkan ia daripada melihat bahawa sesuatu itu berlaku dengan izinNya,sebagaimana wajib bagi seseorang beriman dengan qadha' dan qadar,sama ada taqdir itu membetuli kehendak kita atau tidak membetuli kehendak kita.

Maka seseorang yang memahami bahawa semua yang berlaku di alam ini adalah mengikut kehendakNya,dia tak akan mudah berputus asa dan tidak berburuk sangka apabila dia tak dapat apa yang ia inginkan,malah dia akan bersangka baik bahawa setiap yang berlaku ini ada kebaikannya untuk kita.

Apabila kita ditimpa kesusahan,itu tanda Allah sayang pada kita.Allah ingin menyedarkan kita daripada kelalaian kita yang bergantung kepada asbab sehingga terdinding kita daripada melihat kehendak Allah atas diri kita,sehingga kesusahan ini akhirnya membawa kita kembali berharap kepadaNya.

Pesan Tuan Guru lagi,al Imam Ibn Atha'illah ,rahimahuLlah,menulis kalam hikmah ini sebagai nasihat kepada para muridin,ibarat 'brek' yang akan memperlahankan seseorang yang sedang asyik dalam tingginya semangat mengejar sesuatu yang ia harapkan,agar 'brek' ini dapat mengingatkannya walau setinggi mana bara api semangatnya menyala,tak akan terlepas daripada ketentuanNya.

Kesimpulannya,Tuan Guru Baba 'Eil,hafizohuLlah,merumuskan bahawa matan yang dibawa oleh al Imam Ibn Atha'iLlah,rahimahuLlah,ini bertujuan untuk memantapkan lagi pegangan kita dalam Ahli Sunnah wal Jama'ah terhadap keimanan kepada qadha; dan qadar;iaitu rukun Iman yang ke 6.


Semoga Allah memberkati Tuan Guru Baba 'Eil Sepanjang hafizohullah dan merahmati al Imam Ibn Atha'iLlah,rahimahuLlah yang mana segala karangan dan ahwalnya telah banyak memberi manfaat kepada ummah.

Click to comment